Media News
About Us
The Media Industry. Shaping the nation, shaped by the nation.
Kematian Sebuah Akhbar – Erti di Sebalik Penamatan Akhbar Bercetak buat Malay Mail
Chow Ee-Tan
Oct 18, 2021 10:56 AM
Share To:

IA merentasi dua abad berbeza. Ia melaporkan karamnya kapal Titanic, menjadi saksi kepada pandemik Selsema Sepanyol, melalui dua perang dunia dan zaman Kemelesetan Besar, menyaksikan bangun jatuh Blok Komunis, dan melangkah memasuki revolusi digital abad ke-21.

The Malay Mail (MM) ialah akhbar harian berbahasa Inggeris tempatan yang pertama diterbitkan semasa zaman penjajahan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Pada 14 Disember 1896, ia diterbitkan sebagai akhbar tengah hari percuma dengan 100,000 salinan diedarkan sekitar Lembah Klang. Selepas 122 tahun, ia menjadi akhbar Inggeris pertama yang menghentikan penerbitan versi bercetaknya. Selepas 1 Disember 2018, ia menjadi portal berita dalam talian sepenuhnya.

MM merupakan akhbar bawah syarikat akhbar terbesar di Malaysia, New Straits Times Press (NSTP) Berhad, bersama akhbar New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro. Ia mengecap zaman kegemilangan dari 1970-an hingga 1990-an, sebagai tabloid berbahasa Inggeris tengah hari yang diedarkan di Lembah Klang. Dengan slogan: The Paper That Cares (Akhbar yang Ambil Peduli), ia mengetengahkan berita komuniti setempat selain berita eksklusif yang menjadi berita hangat. Ia terkenal dengan seksyen iklan kecilnya (classified ads), selain penyampaian terkini berita sukan dan berita antarabangsa.

Pada 1997, MM menjadi unit NSTP yang paling membawa untung menerusi iklan kecilnya. (1) Namun ekoran krisis kewangan Asia dan kemunculan pesaing baharu The Star yang menawarkan insentif hebat kepada pengiklan, The Star tidak mengambil masa lama untuk mengatasi kedudukan MM dalam iklan kecil.

Sejak ketibaan abad ke-21, MM telah melalui beberapa rombakan dan pelancaran semula di bawah pelbagai editor dan pemilik. Seperti akhbar lain, ia mempunyai versi dalam talian sejak 2013, yang dengan pantas mengambil tempat versi cetak yang menunjukkan prestasi tidak memberangsangkan. Namun, meskipun pemilik sekarang - Malay Mail Sdn Bhd bawah Ancom Bhd - merupakan pihak yang bertanggungjawab membuat keputusan untuk menghentikan cetakan akhbar itu tiga tahun lalu, titik perubahan yang membawa kepada terkuburnya surat khabar MM boleh disorot sejak 15 tahun lepas.

Zaman kegemilangan

MM menikmati zaman kegemilangan sebagai suara masyarakat. Akhbar itu dikenang-kenang begitu ramai editor dan wartawan yang pernah menjadi sebahagian daripadanya.

Mantan editor MM K.C. Boey mengimbau betapa MM bertuah kerana bernaung bawah kepemimpinan ketua pengarah kumpulan NST, allahyarham Tan Sri Datuk Noordin Sopiee yang mencipta slogan The Paper That Cares.

The Paper That Cares melunaskan misinya, tetapi ia jauh daripada menjadi hanya sekadar retorik semata-mata,” kata Boey yang menerajui meja editorial dari 1986-1989 dan kini tinggal di Melbourne, Australia. “Penerapan slogan itu menyatukan keseluruhan ciri ad hoc terdahulu dan idea-idea baharu. Ini memerlukan disiplin untuk merancang setiap ciri.”

Satu lagi ciri unik pada MM ialah The Malay Mail HOTLINE, yang merupakan perkhidmatan telefon sehenti yang membantu pembaca mengetengahkan kegagalan pihak berkuasa tempatan dalam menjalankan tugas mereka; atau sebagai saluran kepada tindakan orang ramai bagi hal-hal berkepentingan awam. Katanya, HOTLINE menjadi benih kepada terlahirnya genre kewartawanan siasatan bawah tajuk besar MAIL INQUIRY dan MAIL ANALYSIS.

Tentu saja, Boey berasa terkilan apabila tiada lagi MM versi bercetak. "Kamu tak boleh halang kemajuan, itulah yang saya lihat daripada teknologi dan media baharu. Dalam langgam MM, media baharu ialah lebuh raya super yang dilalui penjual suratkhabar kami dengan motor kapcainya, yang mana batas waktu cetak akhbar kami perlahan-lahan menjadi sindiran kepada julukan kami sebagai akhbar harian tengah hari. Zaman kegemilangan MM masih boleh mendapat khalayaknya yang tersendiri, dengan kesohoran yang dikecapi pada zamannya.

Mantan Editor Sukan MM Tony Mariadass, turut berkongsi rasa serupa. Dia bekerja dengan akhbar itu untuk 29 tahun sebelum meninggalkan akhbar itu pada 2006.

Sebagai veteran sejati MM yang telah menyaksikan jatuh bangun akhbar itu selama tiga dekad, Mariadass berkata Malay Mail dalam talian hari ini sudah kehilangan keistimewaan tersendiri dan konsep yang ada pada akhbar asal, tetapi dia memahami kekangan dihadapi penerbitan dalam talian, seperti panjang laporan dan masa.

“MM berbeza daripada surat khabar lain. Ia banyak mengandungi cerita berunsur kemanusiaan. Ia berani menempah kontroversi dan memecahkan banyak pendedahan dan cerita (kejayaan) menggemparkan,” katanya.

“MM cemerlang sebagai akhbar tengah hari di Lembah Klang.

“Sudah cukup banyak akhbar pagi. Kita sepatutnya harus memberikan tumpuan pada pasaran kita dan tidak berebut dengan akhbar pagi yang lain.”

Mariadass mengambil skim pemisahan sukarela (VSS) ditawarkan syarikat itu pada April 2006 kerana tidak bersetuju dengan hala tuju baharu akhbar berkenaan. Beberapa tahun kemudian, dia diminta untuk kembali menyertai MM di bawah pemilikan baharu dan menjadi editor perunding sukan, sebelum menjadi penulis pakar dan kolumnis di akhbar itu sehingga 2017.

 Kejatuhan MM Varsiti

Bergerak ke era milenium, edaran MM merosot daripada kemuncak 60,000 naskhah kepada hanya separuh daripada itu. Pendapatan daripada pengiklanan turut menjunam kepada RM10 juta setahun berbanding kemuncaknya RM70 juta setahun pada 1997. Sejak itu, akhbar itu mencatatkan kerugian.

Bekas Editor MM yang juga blogger terkenal Datuk Ahiruddin Attan menyaksikan apa yang terjadi kepada MM pada pertengahan 2000-an, yang disifatkannya sebagai punca yang membawa kepada terkuburnya MM. Lebih dikenali sebagai Rocky, dia dilantik sebagai Pemangku Editor MM pada 2001 ketika dia masih lagi Editor Business Times yang sudah terkubur.

“Pada masa itu, jualan menjunam hingga antara 23,00 ke 25,000. Saya sahut cabaran itu dengan matlamat untuk membawa MM kembali ke zaman kegemilangannya,” kata Rocky yang merupakan individu penting di sebalik pembukaan cabang MM di Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh dan Melaka untuk menerbitkan akhbar itu di negeri-negeri berkenaan.

Dia turut menghantar beberapa wartawan senior untuk mengetuai pasukan editorial di sana. MM merupakan akhbar pagi di negeri-negeri itu tetapi merupakan akhbar lewat pagi/tengah hari di Lembah Klang.

Kata Rocky, antara 2004 dan 2006, MM merupakan satu-satunya akhbar di Malaysia yang menikmati peningkatan jumlah edaran. Di Pulau Pinang, MM memintas jualan NST. Tambahnya, pada 2005, MM mempunyai edaran purata sebanyak lebih 60,000 naskhah, iaitu lebih tinggi berbanding edaran purata pada 1980-an dan 1990-an.

Pada masa sama, akhbar utama NSTP iaitu The New Straits Times pula bergelut dengan jualan dan edaran, sehingga membawa kepada keputusan untuk menjadikan akhbar berbahasa Inggeris itu sebagai akhbar bersaiz tabloid.

“Pertumbuhan MM, malangnya, dilihat oleh pengurusan NSTP sebagai punca kepada kejatuhan teruk dalam jualan NST,” kata Rocky. “Satu keputusan dibuat pada sekitar awal 2006 untuk melancarkan semula MM menjadi “akhbar kolej” yang lebih muda.”

Rocky membantah keputusan itu kerana dia percaya langkah itu akan membunuh MM. Dia diminta untuk mengambil VSS dan meninggalkan syarikat pada Mac 2006. Editor baharu Mhd Zulkifli dibawa masuk untuk menerajui MM baharu yang dilancarkan pada 19 Mei 2006. Semua pejabat MM di negeri-negeri lain ditutup. Sedikit rombakan semula dibuat terhadap meja editorial MM.

Bagaimanapun, jenama MM yang lebih muda itu tidak berjaya bertapak kukuh dan MM kehilangan ramai pembaca setianya. Edisi hujung minggunya `The Weekend Mail’ yang menggantikan Sunday Mail, dihentikan ekoran satu ‘tinjauan seks’ yang disiarkan pada November 2006.

Pemilik Baharu & Usaha Menghidupkan Semula

Pada awal 2008, Datuk Ibrahim Mohd Nor dari Blue Inc mengambil alih MM daripada Media Prima, dan membawa semula beberapa wartawan berpengalaman dari kumpulan NSTP untuk menghidupkan semula The Paper That Cares. Ia cuba kembali kepada model lama MM dengan memberi tumpuan terhadap berita-berita sekitar Lembah Klang tetapi usaha itu tidak dapat memulihkan kerosakan yang dilakukan ke atas akhbar itu dalam dua tahun sebelumnya.

Susulan pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan perubahan dalam kepemimpinan di NSTP, Ibrahim dan kumpulan NSTP menjual MM kepada sekumpulan ahli perniagaan yang diketuai oleh Dato’ Siew Ka Wei dari Ancom Group of Companies pada 2009. MM berkongsi beberapa pemegang saham serupa dengan Redberry dan Ancom.

“Pemilik terdahulu MM mahu tutup MM, tetapi muncul peluang untuk saya membelinya. Pada masa itu, ia merupakan akhbar cetakan tengah hari dengan kurang daripada 20,000 naskhah terjual. Kos operasi melebihi pendapatan,” kata Siew, yang merupakan pembaca tegar MM dan tidak mahu melihat akhbar itu terkubur.

Dia menjemput Rocky untuk menjadi Ketua Editor serta ahli lembaga pengarah di MM, sebagai satu perkongsian untuk menghidupkan semula akhbar berkenaan.

“Pada masa saya menerima tawaran Ka Wei untuk kembali bagi menghidupkan semula MM, ia sudah berjaya membuang stigma ‘akhbar kolej’ itu. Tetapi ia bergelut teruk, seperti pada tahun 2001 ketika saya mula-mula bertugas di situ dulu,” kata Rocky, yang bekerja bersama bekas rakan setugasnya dari MM dan NST ketika memegang jawatan baharunya itu.

“Kami cuba membina semula imej MM, dengan harapan untuk mengembalikan semula semangat MM yang lama,” kata Rocky. Dengan cuba menolak garis sempadan dalam usahanya itu, dia telah menyinggung pihak lain dalam syarikat. Dia berasakan bahawa “jenama” kewartawanan yang cuba dibawanya bertingkah dengan visi sang pemilik yang merupakan ahli perniagaan. Dia meninggalkan jawatan Editor di MM buat kali kedua, tetapi masih kekal sebagai ahli lembaga pengarah syarikat sehingga 2018.

Mariadass juga merupakan salah seorang veteran yang pulang ke MM untuk membantu membina semula akhbar itu, terutamanya dalam menghidupkan semula seksyen sukannya yang popular.

“Saya merupakan editor perunding sukan. Tetapi persekitaran kerja dan budaya kerja telah banyak berubah sejak saya pergi pada 2006 dahulu. Wartawan memperlakukan kerja mereka seperti kerja pejabat 9-5, dan kewartawanan sudah jadi berbeza. Mungkin cara saya cara lama, saya rasa saya tak dapat sesuaikan diri dan pergi setelah setahun,” katanya.

Dari 2008 hingga 2013, ramai editor berpengalaman seperti Syed Nadzri, Tony Francis, Frankie D’Cruz, Yushaimi Yahaya dan Terrance Fernandez dibawa masuk untuk menghidupkan semula MM, tetapi tiada siapa yang dapat membawanya kembali ke era kegemilangan lampaunya.

Ketua Pengarang MM yang terakhir ialah mendiang Datuk Wong Sai Wan, bekas editor eksekutif The Star dan terlibat dalam projek khas Redberry sebelum menerajui meja editorial MM pada Januari 2014.

Ketika itu, syarikat itu telah memulakan portal dalam talian MM yang diuruskan oleh sepasukan editor dan wartawan daripada The Malaysian Insider yang telah terkubur. Sejak awal, akhbar cetak dan portal dalam talian mempunyai dua pasukan editorial berasingan - sehinggalah kedua-duanya digabungkan sebagai satu pasukan pada Januari 2018.

Akhbar MM dihentikan cetakan

Menurut Siew, keputusan untuk menghentikan penerbitan akhbar cetak MM diambil selepas pertimbangan selama berbulan-bulan lamanya. Ia bukanlah keputusan yang mudah, dan ia harus membuahkan hasil.

“Dunia sudah berubah, cara orang membaca berita sudah berubah. Jadi kami juga mesti berubah untuk terus kekal relevan. Mengapa kamu nak baca berita semalam pada hari ini?” soalnya.

“Dengan internet dan peranti mudah alih, tabiat membaca orang ramai juga berubah, dan pandemik mengubahnya dengan lebih banyak lagi. Masa depan surat khabar adalah sangat terhad untuk terus kekal relevan.

“Rancangan asalnya adalah untuk mengekalkan kedua-dua versi MM, tetapi di akhirnya, kami ambil jalan yang dapat memastikan Malay Mail terus hidup. Bagi memastikan jenama Malay Mail hidup, kami harus hentikan (versi) bercetak.”

Bagi editor urusan MM Leslie Lau, penurunan pembaca dan hasil pendapatan daripada edisi bercetak merupakan sebab utama keputusan itu diambil.

“Edisi cetak tidak ada apa-apa fungsi dengan jumlah edarannya yang menjunam. Sebelum menutup akhbar bercetak, syarikat telah melakukan strategi mendahulukan (portal) dalam talian dan menyatukan semua operasi.

“Sebagai sebahagian daripada strategi mendahulukan (versi) digital, keseluruhan operasi berpusat pada edisi dalam talian, dengan hanya sepasukan kecil subeditor dan artis grafik dijadualkan setiap hari untuk menghasilkan akhbar harian bercetak,” katanya. “Kami mahu edisi digital yang lebih banyak menjadi pemecah berita, sementara edisi bercetak pula akan memberikan liputan yang lebih lengkap tentang acara atau berita.”

Namun, strategi itu tidak berhasil. Katanya, trend pembaca terhadap akhbar bercetak sudah mula ketara, dengan semakin kurang orang membeli salinan bercetak manakala semakin ramai pula yang tertarik untuk mendapatkan berita secara dalam talian, terutamanya disebabkan hubungan internet yang lebih baik dan penggunaan telefon pintar.

“Akhirnya, pembacalah yang membuat keputusan itu untuk kami. Ada tanggapan bahawa tidak ada bezanya buat kami sebagai sebuah syarikat berita,” katanya lagi.

Mendiang Wong Sai Wan, yang menyatakan keputusan untuk menghentikan cetakan, bersikap optimis bahawa akhbar itu masih lagi menjadi perintis yang membuka jalan baharu untuk menjadi ikutan orang lain.

“Ini hanyalah langkah pertama yang akan diambil Malay Mail dalam perniagaan digital. Kami tidak akan berhenti setakat kandungan berita. Kami akan bentuk kerjasama, mendapatkan pihak lain untuk menjadikan kami benar-benar sebuah syarikat digital. Dan bukan sekadar menjadi syarikat kandungan digital, (tetapi) ia akan menetapkan trend dan menjadi perintis,” Wong dipetik berkata pada edisi terakhir Malay Mail 30 November 2018 (2).

Katanya lagi, tidak seperti media lain yang bermula sebagai kumpulan digital sebelum menceburkan diri dalam industri media cetak, organisasi berita berusia 122 tahun itu “memecahkan trend sebagai akhbar bercetak Malaysia yang pertama dan tertua yang meninggalkan sepenuhnya sektor yang merosot itu untuk bergiat penuh dalam dunia digital.”

Wong turut berkata bahawa model perniagaan akhbar itu menjadi lompang jika hanya bergantung pada pengiklanan untuk bertahan, sedangkan letusan akses mudah untuk mendapatkan maklumat secara digital menjadikan akhbar tidak berguna sebagai penyedia berita. Bagi Wong, cara lama menjalankan perniagaan surat khabar - iaitu menerusi pengiklanan bagi menampung kos edaran, editorial dan percetakan - sudah tidak lagi dapat dilaksanakan. (3)

Peralihan kepada digital menyaksikan syarikat itu membuang 55 pekerja daripada 165 tenaga kerjanya, yang diberikan masa seminggu untuk membuat keputusan sama ada mereka mahu berhenti atau terus tinggal untuk dilatih semula bagi mengisi peranan baru dalam organisasi berkenaan.

Meskipun jualan surat khabar bercetak terjejas dan akhbar dalam talian semakin menjadi pilihan, Mariadass masih percaya bahawa akhbar bercetak mempunyai pasarannya yang tersendiri.

“Kamu perlu mempunyai akhbar dengan kandungan yang bagus, dengan wartawan yang dapat menghidu berita eksklusif dan mempersembahkan berita tanpa berat sebelah, mewakili semua suara. Ia akan berhasil kerana orang mahu membeli sesuatu yang berbeza sebagai bahan bacaan.”

Katanya, mungkin satu generasi akan datang, semua orang akan membaca berita dalam talian. “Tetapi sebagai sebuah negara yang belum sepenuhnya digital, jika kamu menyerah kalah sebelum ia terjadi, kamu membunuh akhbar bercetak sebelum tiba masanya,” katanya.

Bagi Rocky, keputusan itu tidak dapat dielakkan. “Perbandingannya mudah: (akhbar) dalam talian lebih murah, lebih cepat dan lebih memberi impak. Akhbar cetak semakin mahal hari demi hari. Angka cetakan yang memang sudah kecil pada ketika itu pun tidak membantu, manakala duit pengiklanan pergi kepada media cetak yang lain.

“Mengimbau semula, saya rasa pembunuh sebenar ialah keputusan yang dibuat oleh bos-bos NSTP untuk mengubah hala tuju MM,” kata Rocky. “Apa yang terjadi selepas itu, orang cuba menyelamatkan akhbar itu melalui macam-macam cara.”

Bagaimanapun, dia turut menambah bahawa dia berasakan bahawa syarikat sepatutnya mengekalkan akhbar bercetak, meskipun dalam apa-apa bentuk jua.

“Jenama MM masih kekal kuat. Saya akan mempertimbangkan terbitan bercetak secara berkala,” katanya. Tetapi Siew pula berkata mereka telah mencuba pelbagai model untuk versi cetak, termasuklah menerbitkan edisi hujung minggu. Cuma saja ia tidak diterima baik serta tidak berdaya maju dari aspek kewangan.

Malay Mail digital yang diperkuatkan

Hari ini, Siew lebih yakin bahawa menghentikan cetakan MM merupakan langkah bijak dan tepat. Katanya, akhbar itu akan bangkit daripada abu - seperti legenda burung phoenix - untuk menjadi jauh lebih kuat berbanding sebelumnya.

“Kami ada pasukan yang bagus yang boleh mengembangkan jenama itu secara digital,” katanya, dengan menambah bahawa dengan menjadi sebuah portal berita dalam talian, ia boleh menjangkaui rakyat kebanyakan. Matlamatnya adalah untuk memastikan seramai mungkin orang membaca berita.

Dia percaya bahawa jenama itu akan terus kekal kuat. Ia dibuktikan dengan jumlah pembaca MM yang telah meningkat berlipat kali ganda. Portal itu menerima pengunjung unik hampir 6 juta setiap bulan daripada hanya 2.5 juta pada 3 tahun lalu.

“Paparan laman kami turut meningkat ke 25 juta. Kami menjangkau jauh lebih ramai orang sekarang berbanding (versi) bercetak. 30 peratus daripada pembaca kami adalah dari luar negara, dengan kumpulan umur purata antara 35-50 tahun,” kata Siew. Tambahnya, MM berada di kedudukan ke-4 dalam senarai portal yang paling banyak dibaca di Malaysia, di belakang The Star Online, FMT dan Malaysiakini.

Bagi Rocky, MM dalam talian tidak mempunyai niche yang dimiliki MM pada masa lalu - akhbar yang berjuang untuk golongan tertindas, akhbar yang mendedahkan ketidakadilan dengan kewartawanan siasatan.

“MM bersaing di atas platform yang sangat umum dengan portal-portal berita lain. Kita bersetuju bahawa bukan bentuk itu yang penting, tetapi isinya. Tetapi buat MM, isi kandungannya telah berubah,” katanya.

Siew tidak menafikan bahawa MM dalam talian berbeza berbanding versi cetak dari masa lalunya. “Kami menawarkan pilihan kepada pembaca. Kami terbitkan berita sebagaimana adanya, berita yang tidak ditokok-tambah yang tidak memihak. Tetapi jika pembaca kami menulis kepada kami meminta bantuan berkenaan pihak berkuasa atau hal-hal lain, kami akan memberi maklum balas.”

Pada 2010, akhbar bercetak MM menjadi akhbar pertama yang menyiarkan berita Malaysiakini di Malay Mail, di sebalik tekanan hebat daripada kerajaan, kata Siew yang percaya pada penyampaian berita yang adil supaya rakyat boleh membuat keputusan yang bijak dan berdasarkan fakta.

Bagi Lau, sejarah panjang akhbar bercetak MM itu sendiri menyaksikan ia memainkan peranan berbeza di bawah hala tuju editorial yang juga berbeza.

“Pada 80an, ia merupakan akhbar tengah hari untuk Lembah Klang. Pada 1950-an, ia menjadi surat khabar lebar nasional. Hari ini saya sifatkan ia sebagai satu saluran berita yang bebas, progresif dan liberal, untuk bacaan seluruh negara dan melangkaui lebih daripada itu lagi,” katanya.

“Adakah ia telah berubah? Bergantung pada ‘Malay Mail lama’ yang mana satu yang kamu bandingkan,” katanya. Bagi Lau, misi Malay Mail tidak berubah, iaitu menyampaikan maklumat kepada pembacanya.

“Saya rasa pembaca kami telah membuat keputusan bahawa kami masih lagi penting. Tidak kisahlah apa pun platformnya. Dengan menumpukan perhatian hanya pada platform maya, kami telah berkembang dan menjalin perkongsian perniagaan baharu dengan laman-laman web lain untuk memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pembaca Malaysia,” katanya.

“Ia masih hidup dan masih ligat, dan saya percaya kami akan terus berada di sini untuk satu tempoh yang lama lagi. Saya sangat yakin, ada masa depan yang cerah untuk Malay Mail,” ulas Siew.

Chong Ee-Tan merupakan wartawan bebas. Sila kunjungi portfolio dan berhubung degan beliau melalui pautan berikut: 

https://eetanchow.contently.com/

https://www.linkedin.com/in/ee-tan-chow-453a7313/

[email protected]

References:

(1) https://en.wikipedia.org/wiki/Malay_Mail

(2)https://www.malaymail.com/news/malaysia/2018/11/30/new-beginning-for-malay-mail-as-last-print-edition-hits-the-streets-tomorro/1698864

(3)https://www.nst.com.my/news/nation/2018/12/436319/goodbye-malay-mailour-oldest-newspaper

Garis masa Malay Mail dari 2001 hingga sekarang

2001: Edaran Malay Mail menjunam kepada antara 23,000 dan 25,000 naskhah.

Oktober 2001: Datuk Ahiruddin Attan (Rocky) menjadi Pemangku Editor MM ekoran peletakan jawatan Editor terdahulu Datuk Fauzi Omar.

Disember 2003: Datuk Seri Kalimullah Hassan (kini Pengerusi ECM Libra Financial Group Berhad) dilantik sebagai Ketua Editor Kumpulan NSTP, menggantikan Tan Sri Ahmad Abdullah.

Mei 2004: Rocky secara rasmi dilantik sebagai Editor Eksekutif Malay Mail dan Sunday Mail.

2004: MM menjadi akhbar kumpulan NSTP yang paling cepat berkembang, selepas ia diterbitkan di Pulau Pinang dan Johor dan Ipoh sebagai akhbar pagi, dan akhbar lewat pagi di Lembah Klang.

2005: MM mempunyai edaran harian purata lebih 60,000 nashah, lebih tinggi daripada edaran harian purata pada 80-an & 90-an.

Mac 2006, Rocky meninggalkan akhbar itu selepas dia diminta untuk mengambil skim pemisahan sukarela (VSS)

Mei 2006: Susulan pelaksanaan VSS terhadap akhbar-akhbar bawah NSTP, MM menjadi akhbar berasingan yang dimiliki secara langsung oleh Media Prima, yang memiliki kumpulan NSTP.

19 Mei 2006: MM dirombak dan dilancarkan semula sebagai akhbar varsiti. Weekend Mail pula menggantikan Sunday Mail.

November 2006: Weekend Mail dihentikan oleh Kementerian Dalam Negeri ekoran laporan dan gambar yang disiar akhbar itu pada isu 4-5 November, berkenaan isu-isu seks dan seksual.

Mac 2008: Datuk Ibrahim Mohd Nor dari Blu Inc membeli MM dari Media Prima. Mantan editor NSTP seperti Tony Francis, Frankie D’Cruz, Sheila Rahman diambil untuk menyelamatkan Malay Mail. Ia menjadi akhbar tengah hari percuma.

September 2009: Datuk Siew Ka Wei dari Ancom Group of Companies dan sekumpulan ahli perniagaan membeli MM dari NSTP dan Blu Inc. Rocky kembali menerajui akhbar itu untuk hanya setahun lebih, tetapi kekal menjadi ahli lembaga pengarah MM sehingga pertengahan 2018. Bekas Editor Kumpulan NST Syed Nadzri Syed Harun menjadi penasihat editorial MM.

September 2011 – Malay Mail dilancarkan semula selepas berhenti seketika selama tiga bulan, sebagai akhbar pagi berbayar bawah Ketua Editor Datuk Yushaimi Yahaya, yang kini Ketua Pegawai Operasi NSTP.

Jun 2013: Wartawan veteran Leslie Lau, Joan Lau dan sepasukan wartawan dari The Malaysian Insider (TMI) yang telah terkubur, menjadi pasukan pengurusan dan editorial untuk portal baharu Malay Mail.

Januari 2014: Datuk Wong Sai Wan, yang sebelumnya editor eksekutif di The Star, dilantik sebagai Ketua Editor dan CEO MM.

Januari 2018: Pasukan editorial MM versi cetak dan dalam talian bergabung menjadi satu di bawah teraju Wong Sai Wan.

1 Disember 2018: Edisi terakhir akhbar Malay Mail diterbitkan. Selepas itu, MM hanya wujud sebagai akhbar dalam talian.

Mei 2021: Wong Sai Wan meninggal dunia kerana serangan jantung. Peranan Ketua Editor MM dibiarkan kosong.


Powered By: