Media News
About Us
The Media Industry. Shaping the nation, shaped by the nation.
Dapatkah perniagaan industri media bertahan?
Premesh Chandran
Oct 22, 2021 1:32 AM
Share To:

Malay Mail menghentikan penerbitan surat khabar versi bercetaknya pada 2018, selepas 122 tahun beroperasi. Tamil Nesan gulung tikar pada 2019, hanya lima tahun sebelum ulang tahun keseratusnya. Yang terbaru, surat khabar berbahasa Cina Oriental Daily juga menutup operasi pada 2021. Ini bukanlah kes-kes terpencil. Satu kajian di AS mendapati bahawa 1800 surat khabar telah menutup operasi. Pada pertengahan 2021, News Corp mengumumkan bahawa lebih 100 akhbar akan menghentikan penerbitan di Australia.

Akhbar yang masih bertahan pula, merosot dalam edaran mahupun pendapatan mereka. Biro Audit Pengedaran Malaysia yang mengukur pengedaran penerbitan di Malaysia, telah ditutup pada 2019 - menyukarkan usaha untuk mendapatkan gambaran tentang kemerosotan dialami. Sumber-sumber industri menganggarkan, kurang sejuta akhbar terjual setiap hari di seluruh negara - hanya kira-kira 20% daripada kemuncaknya sebanyak 4.7 juta naskhah pada 2007. Angka itu mungkin lebih rendah, terutamanya di kala pergerakan pembaca terbatas oleh sekatan pergerakan gara-gara pandemik.

Adakah situasi akhbar digital lebih baik?

Mungkin ada yang terfikir, dengan pembaca-pembaca beralih ke versi digital, media akan mengaut semula kerugian mereka dalam versi cetak. Lagi pula, semakin ramai pemain yang memasuki pasaran digital. Jika tidak untung, mengapa mereka mahu berbuat begitu?

Internet - terutamanya dengan perkembangan telefon pintar dalam sedekad lepas - telah membawa berita ke hujung-hujung jari lebih 90% populasi dewasa. Laman berita utama biasanya mencatatkan lebih sejuta pengunjung setiap hari.

Untuk versi cetak, edaran 100,000 naskhah boleh menjana RM1 ke RM3 juta pendapatan pengiklanan sehari, atau kira-kira RM10 ke RM30 bagi setiap pembaca. Untuk versi maya pula, pendapatan pengiklanan dalam talian adalah antara 1 ke 3 sen untuk setiap pengguna, menjana antara RM10,000 ke RM30,000 setiap hari, hampir 1,000 kali lebih rendah berbanding versi cetak.

Mengapa demikian? Gergasi-gergasi teknologi - terutamanya Google dan Facebook - mampu menawarkan pengiklanan pada kadar yang jauh lebih rendah, memandangkan mereka mempunyai akses kepada berbilion pengguna di seluruh dunia. Dengan menggunakan platform mereka, pengiklan mengeluarkan wang yang lebih rendah dengan capaian pelanggan yang lebih luas, berbanding membeli pengiklanan yang lebih mahal secara terus daripada syarikat media.

Penyusutan dialami media bukan hanya disebabkan persaingan sengit daripada gergasi teknologi. Internet turut membuka pintu untuk bentuk-bentuk persaingan yang lain.

Cetak rompak menjadi satu isu yang besar. Penyedia saluran televisyen berbayar seperti Astro dibajak peranti penstriman yang menawarkan saluran berbayar serupa dengan hanya sekali bayar sahaja atau melalui langganan bulanan pada harga yang jauh lebih rendah. Astro masih bertahan dengan bergantung pada pelanggan lebih berusia yang kurang mahir dalam teknologi, namun sukar bagi mereka untuk mendapatkan pelanggan baru.

Cetak rompak turut menjadi isu besar buat laman berita. Kandungan mereka sering disalin atau disiarkan semula di laman-laman web tanpa nama yang meraih pendapatan daripada pengiklan.

Cetak rompak dalam bentuk ini adalah merupakan satu kesalahan hak cipta. Ia mengurangkan pendapatan pengiklanan oleh pemegang hak cipta. Bagaimanapun, tidak banyak tindakan diambil pihak berkuasa bagi membendung bentuk pembajakan sebegini.

Pasaran media juga kini sudah menjadi global. Khalayak di Malaysia boleh mengakses mana-mana laman media di platform, baik untuk hiburan - seperti Youtube, Netflix dan Disney+ - mahupun laman berita atau laman hobi. Pilihan khalayak Malaysia kini tidak lagi terhad kepada media Malaysia sahaja.

Internet turut menawarkan kos permulaan yang lebih rendah. Sesiapa sahaja boleh membangunkan laman kandungan dalam masa satu malam sahaja, daripada penerbit, pemblog, hinggalah kepada pempengaruh.

Jenama-jenama juga tidak lagi bergantung pada media untuk menyampaikan mesej mereka. Daripada papan iklan, ke kempen emel dan laman media sosial, mereka kini banyak melabur dalam membina hubungan secara langsung dengan pelanggan sedia ada serta bakal pelanggan mereka, tanpa perlu bergantung pada penerbit digital mahupun penerbit tradisional.

Jadi mengapa tidak banyak usaha dilakukan bagi menyelamatkan industri? Kerana tidak banyak tekanan yang datang daripada pelanggan mahupun khalayak. Malah, dari sudut pandang khalayak yang kini saling terhubung, ini merupakan zaman keemasan buat mereka.

Mereka mempunyai akses kepada begitu banyak pilihan media berbanding sebelum ini, media kini menjadi lebih menarik, lebih pantas dan lebih cepat berbanding sebelum ini. Yang buruk buat industri, menjadi baik pula buat khalayak.

Sebagai maklum balas terhadap gangguan sedemikian, media penyiaran dan media cetak terpaksa mengecilkan operasi secara drastik. [Statistik Pengecilan]. Pembuangan kerja, pemberhentian cetakan surat khabar, dan pengurangan pengambilan pekerja.

Bagaimana untuk menyelamatkan industri?

 Terdapat beberapa pandangan dan pendekatan. Salah satunya, adalah untuk memastikan mereka yang mendapat manfaat daripada gangguan digital (digital disruption) dapat menyumbang kembali kepada masyarakat. Sebagai contoh, pada awal 2021, industri media global menyaksikan bagaimana media utama Australia berjaya melobi kerajaan untuk meluluskan satu undang-undang - dikenali sebagai News Media and Digital Platforms Mandatory Bargaining Code (Kod Rundingan Mandatori Media Berita dan Platform Digital) - yang memaksa pemain-pemain besar seperti Google dan Facebook untuk berunding tentang perjanjian perkongsian dengan pihak media.

Undang-undang itu mengukuhkan lagi kedudukan media Australia bagi menuntut agihan pendapatan pengiklanan yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sejauh mana manfaat yang dinikmati media hasil daripada undang-undang itu, dan sama ada manfaat-manfaat sedemikian turut dapat dinikmati oleh pemain tempatan dan pemain lebih kecil.

Selain itu, turut dilaporkan bahawa Google bersetuju membayar penerbit-penerbit di Perancis untuk kandungan berita mereka.

Apa-apa pun, pendekatan tersebut turut mendapat sokongan di Malaysia. Pemangku Ketua Pembangunan Produk & Pengurusan Data di Sinar Harian, Ahmad Nazri Mohd Noor (atas) berkata “Portal berita adalah lawan kepada berita palsu, [mereka] boleh dipercayai dan berautoriti, oleh itu platform media sosial wajar membayar kandungan yang dihasilkan media setiap hari.”

Dia memberikan amaran bahawa hanya bergantung pada langganan dan pengiklanan digital semata-mata mungkin tidak cukup untuk menampung kos, justeru dia menggesa industri media berganding bahu untuk memberikan tekanan kepada kerajaan supaya mengambil tindakan. “Kerajaan Malaysia perlu memudahkan kerjasama antara platform media sosial dan portal berita bagi melancarkan perkongsian pendapatan daripada media sosial kepada portal berita,” tambahnya.

Pendekatan lain menuntut media untuk bersikap lebih lincah untuk menyesuaikan diri terhadap perubahan dengan lebih pantas.

“Realitinya, khalayak (media) cetak sudah berkurangan dan berpecah dengan lebih ramai beralih ke video dan audio. Ini dapat dilihat menerusi bilangan saluran agihan dan platform bukan berita yang tumbuh dengan pesat. Pilihan kami mudah sahaja, kami ikut dan bina khalayak di saluran berkenaan - banyakkan video, audio, serta sampai satu tahap, kewartawanan bentuk panjang - yang boleh ditaja, atau dibuat kandungan berbayar serta langganan,” kata Jahabar Sadiq (atas), Editor dan CEO The Malaysian Insights, atau TMI.

Katanya, berita tergempar dan berita semasa perlu dijadikan daya penarik untuk memancing khalayak yang sanggup membayar bagi mendapatkan kandungan berita berkualiti. “Dalam konteks Malaysia, ia bererti membezakan bahasa dan demografi khalayak bagi meluaskan lagi aliran pendapatan.”

Katanya lagi, satu cara untuk mengurangkan kos adalah apabila industri bersetuju dengan “satu infrastruktur dompet, gerbang pembayaran yang serupa, untuk diakses semua pelanggan … kemudian kita ringkaskan, menjadikannya lebih murah dan mudah untuk kita semua berniaga.”

“Apa yang harus membuatkan kita berbeza adalah pendekatan kewartawanan kita, yang memberikan pilihan dalam bentuk berita dan kandungan, berbanding mempunyai terlalu banyak platform dan pilihan bayaran,” tegas Jahabar.

Ketua Editor TheVibes.com, Terence Fernandez pula menggesa inovasi dilakukan daripada segi model pengiklanan.

“Peruntukan pengiklanan di banyak syarikat kini telah beralih daripada pemasaran kepada komunikasi. Dengan itu, media perlulah mempertimbangkan untuk menceburi bidang pengurusan reputasi, penasihat komunikasi dan latihan.”

“Sekali pandang, ia ibarat menarik rambut dalam tepung, kerana ini akan menimbulkan pertikaian terhadap kebebasan dan sikap tidak memihak yang ada pada media. Bagaimanapun, ini tak ada bezanya dengan cabaran semasa apabila media mempunyai pelanggan yang membayar untuk ruangan iklan. Dilema antara etika dan pendapatan akan sentiasa ada; tetapi berdasarkan pengalaman saya, mempertahankan integriti editorial itu sendiri adalah faktor pelaris. Jenama yang ikhlas pasti ingin dikaitkan dengan organisasi yang meraih kepercayaan khalayak.

“Cuba fikirkan, berapa kali kita sebagai orang media secara individu didekati oleh ahli politik, CEO, pengamal perhubungan awam dan lain-lain, untuk mendapatkan nasihat percuma?” soal Terence, yang mencadangkan bahawa hubungan tersebut boleh digunakan untuk menjana pendapatan.

Dia turut melihat peluang untuk lebih banyak kolaborasi dalam industri. “Pengiklan kini mencari platform yang pelbagai untuk menjangkau khalayak pelanggan mereka. Khalayak sesuatu portal atau surat khabar itu mungkin kecil, tetapi jika profilnya tepat, pengiklan dan agensi pasti akan tertarik. Oleh itu, adalah wajar untuk organisasi yang lebih mapan untuk bertanyakan soalan - mengapakah pesaing yang lebih kecil dan baru masih boleh menikmati pendapatan daripada iklan?”

“Di negara berbilang bahasa seperti Malaysia ini, terdapat banyak peluang untuk bekerjasama dengan organisasi vernakular bagi menjangkau khalayak berbilang bahasa ini. Media penyiaran, cetak, elektronik - semua mempunyai merit dan peminat tersendiri. Organisasi lebih kecil boleh dan patut berganding bahu untuk menawarkan harga yang lebih kompetitif dengan tawaran khalayak yang pelbagai.”

Peranan kerajaan

Meskipun tidak terlibat secara langsung, kerajaan boleh memainkan peranan penting dalam menyokong industri media.

“Kerajaan wajar (“Selain daripada skandal dan komplot”) menangani isu infrastruktur. Akses internet yang mampu milik, pusat data yang lebih baik dan mampu milik, serta infrastruktur awan (cloud infrastructure) akan dapat membantu,” kata Jahabar.

“Ini harus diperluas ke seluruh negara, bukan hanya kawasan bandar. Sekadar mempunyai 4G atau 5G saja tidak cukup, kita perlukan infrastruktur yang lebih baik dan mampu milik, bahkan geran untuk menghasilkan kandungan - kandungan pendidikan atau kandungan semasa - untuk demografi negara ini,” tambahnya.

Terence berasakan bahawa undang-undang sedia ada kabur dan boleh disalah tafsir.

“Undang-undang seperti Akta SKMM; Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi perlu disemak semula untuk membuang peruntukan dan lompang yang boleh memerangkap media. Agak menggentarkan jika difikirkan, bahawa kesamaran ini memang disengajakan untuk tujuan ini!”

Ahmad Nazri dari Sinar menggesa kerajaan untuk meringankan beban peralihan digital dengan menawarkan pengecualian cukai untuk peralatan, perisian dan perseorangan, bagi membantu media menaik taraf dan mempersiapkan portal berita mereka untuk menerima langganan.

Pendekatan lain yang boleh dilakukan kerajaan termasuklah meletakkan had untuk kos saman fitnah dan menangani isu cetak rompak dengan menyekat pembajak kandungan.

Di peringkat global, jenama berita utama telah beralih kepada model langganan berbayar. Kos permulaan untuk model sebegitu adalah tinggi, termasuk untuk mengintegrasikan perisian langganan, mengambil pekerja sokongan pelanggan dan kempen pemasaran yang mahal. Oleh itu, ia hanya dapat dilakukan sekiranya syarikat media dapat meningkatkan pangkalan pelanggan mereka dengan signifikan.

Dari sudut pandang pelanggan pula, memandangkan mereka sudah terbiasa dengan perkhidmatan seperti Netflix dan Spotify, mereka nampaknya terbuka untuk mempunyai perkhidmatan seumpamanya bagi berita juga. “Saya mahukan satu (cara) bayaran bulanan yang tidak rumit untuk semua laman berita yang saya suka, tanpa perlu masuk untuk menguruskan semua langganan saya satu demi satu. Ia juga secara keseluruhannya haruslah berpatutan, mungkin RM10-15 sebulan,” kata seorang pelanggan berbayar Malaysiakini, ketika ditanya apakah yang dihasratkan berkenaan cara pembayaran untuk berita yang dilanggannya.

---

Premesh Chandran ialah CEO dan pengasas bersama Malaysiakini. 

Powered By: