Media News
About Us
The Media Industry. Shaping the nation, shaped by the nation.
Ke udara, dan keluar daripada pandemik
Kean Wong
Oct 27, 2021 1:26 AM
Share To:

Landskap media Malaysia belum dapat membebaskan diri daripada kejatuhan model perniagaan yang sekian lama menjadi tunjang kepada kewartawanan negara selama tujuh dekad lalu.

Meskipun media menikmati lebih banyak kebebasan buat sementara waktu selepas pilihan raya 2018, yang menyaksikan kedudukan kebebasan media Malaysia meningkat secara drastik dalam tinjauan-tinjauan global seperti tinjauan oleh Reporters Without Borders (RSF), pembaharuan penting ke atas undang-undang zalim seperti Akta Hasutan masih tidak dapat dilakukan sepertimana dijanjikan.

Dalam pergolakan politik sepanjang setahun lepas, yang menyaksikan Malaysia bertukar perdana menteri dan kerajaan sebanyak tiga kali, prospek tadbir urus yang baik serta kepastian penggubalan dasar telah pun lenyap, meskipun pergolakan itu juga berjaya menggalakkan permintaan untuk perkhidmatan berita yang pantas.

Seperti kebanyakan ekonomi pasaran di seluruh dunia, model perniagaan media Malaysia bergantung pada pendapatan pengiklanan.

Namun, dalam zaman yang menyaksikan gergasi teknologi Facebook dan Google mendominasi perhatian khalayak berita, media kehilangan kebanyakan hasil pengiklanan kepada produk dan platform gergasi teknologi ini. Yang menjadi korban ialah media cetak dan penyiaran tradisional.

Majoriti wartawan Malaysia bernaung di bawah media tradisional. Dengan hasil pengiklanan yang menjunam, media turut membuat pemotongan gaji. Syarikat media yang dahulunya cukup berpengaruh seperti kumpulan The Star dan Utusan, mengurangkan lebih separuh pekerja dalam tiga tahun ini. Utusan sendiri menjadi tajuk berita apabila dilaporkan mengalami kerugian RM8 juta setiap bulan (AS$2 juta).

Krisis pasaran media ini menarik tumpuan kepada penjajaran pemilikan di syarikat media terbesar Malaysia, Media Prima pada tahun ini, dengan bekas menteri kewangan kedua Johari Abdul Ghani muncul sebagai pemegang saham kedua terbesar, memiliki satu perlima daripada keseluruhan saham dalam syarikat media bernilai RM800 juta (AS$193 juta) itu. Syarikat itu merupakan faktor penting kepada kejayaan kerajaan pimpinan Umno seperti yang diterajui oleh perdana menteri sekarang Ismail Sabri (yang merupakan naib presiden Umno).

Veteran media negara Tan Sri Johan Jaafar, yang menerajui media tradisional yang dikaitkan dengan Umno pada zaman kegemilangannya pada 1990-an, mengaku betapa jauh berbezanya era media dalam talian kini berbanding era sebelumnya, yang menyaksikan surat khabar dan stesen televisyen mengaut kebanyakan daripada RM3.5 bilion pembayaran pengiklanan (pada ketika itu lebih sedikit dari AS$1 bilion).

Dalam satu ucapan kepada Malaysian Press Institute hanya beberapa bulan sebelum pergolakan politik dan pandemik pada tahun lalu, dia meluahkan rasa kesal, bahawa “surat khabar kita pernah menjadi begitu berpengaruh dan merupakan usaha niaga yang lumayan.”

“Kita fikir kita gah,” katanya kepada MPI. “Kini kita sedar betapa perniagaan kita dahulu bergantung pada begitu ramai tenaga kerja, betapa rapuhnya kita sebagai sebuah entiti perniagaan, betapa model lama menerbitkan surat khabar dicabar sehingga ke terasnya, dan betapa kita akan menyaksikan lebih banyak gangguan dan kemungkinan gelombang terbesar penyusutan kerja wartawan dalam sejarah surat khabar.”

Ketika banyak perniagaan media terkubur, penutupan operasi kerana pandemik pada tahun lepas membuatkan keadaan media bertambah buruk. Era pandemik menyaksikan pengecilan besar-besaran dalam penerbitan, pekerja dan sumber kewartawanan, dengan syarikat media tradisional besar seperti Media Prima, China Press, Sin Chew, dan The Edge menghentikan penerbitan edisi cetak mereka, menghentikan ribuan pekerja, dan mencatatkan kemerosotan hasil pendapatan sehingga dua digit.

Contohnya, kumpulan Media Prima - yang memiliki media penyiaran dan media cetak berbahasa Melayu utama - dilaporkan memberhentikan 37 peratus pekerja tahun lalu, dan mengurangkan overhed sebanyak sesuku tahun-ke-tahun (year-on-year), bagi mencatatkan dua suku tahun yang menguntungkan pada tahun ini.

Mengejar perbelanjaan pengiklanan di media tradisional, adalah iklan digital yang mencatatkan pertumbuhan sehingga mencecah suku daripada semua perbelanjaan (kira-kira RM489 juga) berdasarkan data Nielsen Malaysia baru-baru ini.

Situasi perniagaan dan politik yang sukar di sepanjang tahun lalu, memberikan kesan besar buat peneraju pasaran yang kecil tetapi berpengaruh, seperti syarikat media bebas BFM Media dan stesen radionya.

Tanpa sokongan dan sumber daripada kerajaan atau empayar komersial, BFM Radio akhirnya terpaksa mengecilkan saiz pekerja menerusi penyusutan, potongan atau penangguhan gaji, dan meneroka aliran baharu pendapatan dalam talian, baik daripada kandungan baharu mahupun yang dipakej semula untuk menyesuaikannya dengan perkhidmatan media sosial seperti TikTok dan Spotify, selain daripada produk penyiaran terasnya. Pergelutan BFM Radio - dan lebih luas lagi kewartawanan audio - untuk bertahan, diburukkan lagi dengan kitaran berita yang menjadi begitu sibuk ekoran pergolakan kepemimpinan politik sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Menurut pengasas BFM Media Malek Ali, dua tahun lepas menjadi tempoh yang paling mencabar dalam sejarah BFM, di sepanjang 13 tahun ia ke udara. Realiti komersial sudah jauh berbeza jika dibandingkan ketika sambutan ulang tahun kesepuluhnya pada 2018.

Merupakan radio bual bicara yang berpaksikan berita dan maklumat, ia melihat kemunculan pesaing baharu dalam pasaran radio. Media Prima telah menukarkan salah satu stesen radionya menjadi format radio berita dan maklumat, manakala agensi Bernama milik kerajaan pula cuba menghidupkan semula stesen radio beritanya. Pun begitu, BFM yang bebas menjadi satu-satunya sumber berita dan analisis buat khalayaknya yang rata-rata terdiri daripada pendengar bandar dan berpendidikan.

“Media telah berubah menjadi seperti yang telah lama terjadi di tempat lain, seperti dalam pasaran UK dan Australia, di mana ia menguatkan dan menyerlahkan lagi hubungan politik-perniagaan,” jelas Malek. “Pergolakan politik dalam beberapa tahun lepas mungkin telah menggalakkan kemunculan laman berita dalam talian baharu seperti The Vibes, atau bertukar kepemimpinan dan kawalan seperti Media Prima, manakala laman popular seperti FMT (Free Malaysia Today) pula menjadi sebahagian daripada Media Prima.”

“Tiada kawalan politik yang ketara dalam semua ini, dan ia bukanlah satu perkara yang baik ataupun buruk. Memang begitulah perniagaan media. Adakalanya orang boleh menyokong seorang calon politik itu semata-mata kerana alasan komersial. Keadaan media (Malaysia) kini menjadi bertambah buruk, dalam aspek pengaruh dan gangguan politik yang mungkin berlaku,” kata Malek.

“Bagi yang seangkatan dengan The Edge (kumpulan akhbar perniagaan) dan BFM, kami mempunyai pengaruh editorial kami sendiri - bolehlah buat menampung hidup, tetapi sekarang keadaan lebih susah. Adakah kami perlu membuat penjajaran politik untuk terus bertahan? Saya rasa ia tidak relevan, dan tidak membantu pun dari aspek komersial. Dulu, jika kamu NST (New Straits Times, kumpulan media dikaitkan dengan parti pemerintah), kamu boleh dapat duit dari kerajaan, tetapi sekarang tidak lagi,” tambahnya.

Penutupan ekonomi gara-gara pandemik serta ketidakpastian politik sepanjang setahun lepas, menjadikan peralihan kepada pasaran pendapatan “digital” atau dalam talian dan aplikasi mobil semakin penting. Dengan kesan ‘ekonomi perhatian’ yang berleluasa, cabaran perniagaan media adalah untuk memancing sebahagian daripada perhatian itu bagi meraih keuntungan komersial. Khalayak tidak lagi boleh diramal dengan mudah.

Malek percaya bahawa khalayak telah retak dan berpecah-belah. “Tiada lagi kesetiaan untuk satu-satu radio, TV atau laman dalam talian - yang merupakan satu cabaran dari aspek komersial. Yang untung hanyalah seperti Facebook dan Google dengan iklan-iklannya. (Media) Cetak paling mudah terjejas tetapi kini TV dan radio juga terjejas. Gara-gara pandemik, kami semua harus menjadi lebih digital, ke ruang maya untuk menjana pendapatan,” katanya.

“Faktor pelaris utama kami adalah kami (BFM Radio) menjangkau khalayak di atas jalan raya, kami tarik anda (untuk mendengar) selama sejam. Tetapi dengan pandemik ini, anda tinggal di rumah. Kami hanya akan terus mendapat perhatian anda untuk mendengar jika anda benar-benar setia - kami berbangga kami mempunyai kira-kira 50,000 pendengar setia yang sebegini. Tetapi jika anda tidak sesetia itu, kami boleh kehilangan anda dengan begitu mudah sekali, (hatta) ketika anda menjerit kepada anak-anak di rumah. Kita semua berteriak untuk mendapatkan perhatian.

“Ia pastinya menjejaskan bilangan khayalak. Semakin sedikit orang tampil mengatakan yang mereka mendengar tentang hal ini dan hal itu di BFM. Kami yakin, apabila kami di kembali di jalan-jalan raya selepas sekatan pergerakan, kami akan menjadi baik-baik sahaja. Beberapa tahun ini menjadi tahun-tahun sukar secara komersialnya. Persoalannya, dapatkah kami melakukannya? Dapatkan kami bertahan dengan hanya bergantung pada (pendapatan) digital, dengan wang digital?” katanya.

BFM Radio lazimnya menarik khalayak bandar berpendapatan tinggi yang bertutur dalam bahasa Inggeris, mencapai lebih 350,000 pendengar setiap hari, termasuk yang disifatkan stesen itu sebagai 50,000 pendengar setianya. Audio siar (podcast) di laman maya BFM menarik lebih 30,000 muat turun sehari, atau lebih 10 juta setahun. Pun begitu, hasil pendapatan terjejas oleh sekatan pergerakan.

“Hasil pendapatan berkurangan sebanyak 40 peratus dalam setahun ini,” dedah Malek, “bahkan mungkin kurang separuh, jika dibandingkan dengan tahun yang bagus, seperti beberapa tahun lalu. Bagi kami, 2021 ini lebih kurang sama dengan 2020, kemerosotannya ketara berbanding 2019 … Berita baiknya, di radio, jika kamu menguruskan struktur kos betul-betul, kami akan dapat mengharungi (tempoh sukar) itu lebih mudah berbanding TV yang mempunyai overhed lebih tinggi untuk produksi dan pekerja. Kami telah melakukan pemotongan gaji, kami belum menggantikan kekosongan pekerja yang telah berhenti sendiri (natural attrition), serta ada juga dilakukan penangguhan gaji. Tapi tak ada pemberhentian kerja. Kami kini ada 70 orang kakitangan, kami kehilangan kira-kira 10 orang. Kami ada ambil pekerja baru untuk inisiatif digital, untuk perkara-perkara yang dipacu daripada aplikasi dalam talian BFM.”

Jelas Malek, fokus BFM terhadap aplikasi mayanya bertumpu pada TikTok, yang mempunyai “kira-kira 100,000” pengikut, dan pada Instagram - dengan penaja dan aturan iklan yang dibuat khusus buat platform-platform berkenaan. Sesetengah program BFM Radio dipotong dan disebarkan dalam bentuk kandungan yang sesuai untuk platform berformat lebih pendek sebegitu.

Bermula dengan khalayak dan nilai pendapatan yang kecil, aplikasi digital untuk platform-platform itu kini menjana 16 peratus daripada hasil iklan BFM bagi tahun ini, berbanding hanya 5 peratus dua tahun sebelumnya.

“Jadi ia merupakan ruang pertumbuhan yang besar buat kami juga,” kata Malek. Dia menjelaskan bahawa “penajaan” dalam talian termasuk sokongan kepada webinar BFM serta pengedaran kempen pelanggan komersial di seluruh saluran media sosial BFM.

Untuk wartawan veteran dan pengacara terkenal program pagi BFM Khoo Hsu Chuang, daya tarikan BFM Radio agak menonjol dalam dunia penyiaran Malaysia yang tidak bermaya. Reputasi BFM terletak pada rancangan-rancangan yang bersifat jujur, berani serta tidak berlapik dan kadangkala bersifat adversarial (tajam), dimulakan dengan program pagi 'The Breakfast Grille', yang menonjol antara lautan program borak, muzik dan hiburan ringan.

“The Breakfast Grille dikenali dengan soalannya yang tidak berlapik, mempertanggungjawabkan CEO dan ahli politik yang ke udara, kadangkala dengan cara soalan yang sangat agresif,” kata Khoo. “Soalan tentang tadbir urus korporat di BFM adalah satu perubahan besar jika dibandingkan dengan hiburan panggilan-mengusik (prank-call) yang biasa dibuat di stesen radio lain, jadi BFM tidak mempunyai mana-mana pesaing - meskipun industri radio kurang maju, hanya ada satu ruang sahaja untuk pemain seperti BFM. Pasaran radio mempunyai duit yang cukup-cukup sahaja untuk satu stesen seperti BFM.”

“Di Malaysia, selalunya tiada pemimpin yang dipertanggungjawabkan, tak ada sesiapa yang meletak jawatan meskipun berlakunya skandal demi skandal. Mungkin di luar bandar, ahli politik menjadi suri teladan dengan rombongan kenderaan dengan pengiring-pengiringnya, di mana ahli politik membuat kerja untuk membuat banyak duit, bukannya untuk berkhidmat kepada masyarakat. Tetapi di pinggir bandar baharu, kelas bandar baharu mahukan politik yang lebih baik - itulah khalayak dan pasaran BFM.”

Menepati kata-katanya, Khoo ada menghasilkan audio siarnya sendiri “Do More”, yang telah berkembang daripada rangkaian audio berbentuk panjang tentang perniagaan dan kepemimpinan, kepada sebaran menerusi platform seperti Youtube. Menurut Khoo,”DoMore ialah rangkaian video siar (video podcast) berbentuk panjang dan hanya boleh didapati secara dalam talian, secara santai membicarakan tentang tiga aspek penting - untuk menjadi bos kepada diri anda sendiri, bersara dengan kaya, dan mencapai potensi penuh diri anda.”

Tetapi, baik untuk rangkaian audio siarnya atau untuk BFM Radio sendiri, cabaran yang menanti adalah untuk bersaing dalam ‘ekonomi perhatian’, yang menuntut penyiaran radio dalam masa linear seperti BFM untuk beralih kepada lebih banyak kandungan audio siar dan mencari khalayak di platform media sosial. Semua penghasilan kandungan ini - dan kewartawanan - harus didanai daripada pendapatan iklan dan penajaan.

“Pengiklanan sudah meninggalkan pasaran penyiaran, dan BFM sudah pun menjadi pasaran khusus dengan khalayak bandar yang bertutur dalam bahasa Inggeris,” kata Khoo. “Dalam zaman media sosial ini, perhatian khalayak sedang beralih ke arah pencipta kandungan perseorangan dan personaliti, bukan entiti seperti stesen atau penyiar.”

“Rasa saya, keseluruhan pasaran radio akan menyusut, dengan lebih sedikit orang kembali bekerja di pejabat, mungkin 3 hari seminggu di pejabat. Jadi, itu pengurangan 60 peratus daripada pendengar, kerana mereka tidak menggunakan jalan raya (untuk ke pejabat). Tapi sentiasa ada permintaan untuk kandungan unik BFM, dan khalayak pendengar itu tidak kisah pun tentang platform kandungan, sama ada radio, bumi (terrestrial), atau dalam talian.”

Permintaan untuk media dan kewartawanan yang boleh dipercayai dan berasaskan fakta masih lagi tinggi. Lebih-lebih lagi dalam “pasaran digital 24-7 (24 jam 7 hari seminggu), 365 (hari), pasaran bitcoin”. Kata Khoo, cara untuk mendanai kandungan seperti BFM tidak semestinya melalui pengiklanan tradisional.

Potensi aplikasi audio baharu yang membolehkan khalayak ramai untuk berhubung dengan pengucap seperti di Clubhouse, setakat ini masih tidak diketahui (dalam aspek penjanaan hasil yang dapat memastikan kelangsungan).

Populariti Clubhouse terkekang oleh akses yang terhad hanya kepada pengguna iPhone di awal kemunculannya, yang mengehadkan jangkauannya hanya kepada pasaran khalayak yang selalunya berpendapatan tinggi.Versi Android Clubhouse baru-baru ini, telah meningkatkan potensinya secara ketara, dengan ahli politik seperti Dr Mahathir Mohamad pada Mac lalu bercakap kepada khayalak seramai 2,500 orang.

Tetapi perbincangan politik susulan di Clubhouse, yang biasanya dibuat dalam Bahasa Malaysia dan dialek tempatan, hanya dapat menarik ratusan peserta, tidak mencecah ribuan. Kebanyakannya bersifat ulasan dan dialog bersifat mengampu terhadap pengucap-pengucap yang terkenal - dan tanpa nilai kewartawanan yang mempersoalkan dengan teliti dan penuh curiga, atau kebertanggungjawapan awam yang boleh ditemukan dalam program-program BFM Radio.

Pun begitu, mengharungi musim pandemik masih lagi satu cabaran buat radio seperti BFM. Memastikan kewartawanannya terus hidup dalam program-program yang terkenal dengan cara berani dan tidak berlapik tentang perniagaan dan politik, pada zaman yang penuh ketidakpastian buat Malaysia, menjadi satu kebimbangan utama buat Malek Ali dan Khoo Hsu Chuang pada tahun ini. 

Powered By: